expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 9 July 2014

CINTA AGUNG MUHAMMAD DAN KHADIJAH


Sempena Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini, elok kiranya kita singkap sejarah kisah cinta agung junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan Saidatina Khadijah. Hebatnya kisah cinta dan kasih sayang mereka harus dijadikan iktibar buat semua umat Islam.

Cinta antara Khadijah dan Muhammad menuntut pengorbanan yang besar daripada Khadijah, seorang wanita mulia dan berpekerti tinggi. Inilah contoh wanita sejati yang penuh keikhlasan dan berjiwa suci yang harus dijadikan contoh oleh semua muslimah.

Khadijah adalah salah seorang daripada wanita paling mulia dan disegani masyarakat di mana beliau lahir dari keluarga yang sangat terkenal. Khadijah memiliki paras yang cantik dan mewarisi sejumlah besar kekayaan serta menjadi seorang ahli perniagaan yang amat terkenal di zamannya.

Mengahwini Khadijah merupakan impian mana-mana lelaki ketika itu. Maka tidak hairanlah Khadijah menerima begitu banyak lamaran daripada lelaki-lelaki kenamaan yang kaya dan berharta. Namun, Khadijah menolak semua lamaran berkenaan kerana dia tiada lagi keinginan untuk berkahwin setelah menjanda.

Sehinggalah hadir seorang lelaki muda berusia 25 tahun dalam hidupnya Walaupun, lelaki bernama Muhammad ini juga dari keluarga bangsawan, beliau adalah anak yatim yang hidup serba sederhana. Muhammad hidup dengan menternak kambing biri-biri di kawasan bukit sekitar bandar. 

Namun, dia mempunyai akhlak yang cukup sempurna, dan beliau sangat dikenali sebagai seorang yang paling jujur ​​dan amanah ketika itu. Faktor inilah yang benar-benar membuat Khadijah tertarik padanya. 

Tambahan pula ketika itu Khadijah sedang mencari seseorang yang benar-benar jujur bagi membantu menjalankan perniagaan untuknya. Pada zaman itu penglibatan wanita dalam perniagaan kurang diiktiraf dan dipandang serong oleh masyarakat. 

Oleh itu, Khadijah tidak boleh melakukannya sendiri dan memerlukan seorang pembantu untuk menguruskan perniagaannya itu dan Muhammad lah yang dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Selepas pulang daripada perjalanan perniagaan yang pertama, Khadijah mula menyiasat dan bertanya kepada beberapa orang yang dihantarnya tentang lelaki bernama Muhammad itu. Daripada penceritaan mereka, ternyata Muhammad merupakan seorang anak muda yang paling baik, lelaki yang paling lembut dan penuh keikhlasan. 

Ramai di antara mereka yang mengagumi sifatnya yang terpuji itu. Daripada semua pujian tersebut, apa yang lebih mengagumkan adalah apabila orang-orang itu bercerita bahawa mereka amat terpegun dengan apa yang terjadi ketika Muhammad bersama mereka. 

Ketika itu mereka sedang mengembara di padang pasir pada musim panas. Namun mereka menyedari bahawa sekumpulan awan telah mengikuti mereka dan memberi teduhan kepada mereka sepanjang masa daripada cuaca yang panas terik. Mendengar cerita itu, Khadijah menjadi amat kagum dengan lelaki bernama Muhammad itu.

Bukan itu sahaja, lelaki bernama Muhammad yang baru diambil bekerja itu terbukti seorang ahli perniagaan yang bijak. Beliau mengambil barangan majikannya, dijual, dan dengan keuntungan tersebut beliau telah membeli barangan lain yang kemudiannya dijual lagi dan mereka beroleh keuntungan 2 kali ganda dengan cara itu. 

Semua ini menambahkan lagi perasaan kagum Khadijah dan perasaan kasih terhadap Muhammad terus membara dalam hatinya walaupun lelaki itu 15 tahun lebih muda daripadanya.

Dengan rasa kasih yang semakin menebal, Khadijah menghantar adiknya untuk melamar pemuda bernama Muhammad itu. Beliau bertanya kepadanya, "Mengapa kamu tidak berkahwin, lagi?" "Bagaimana dapat aku berkahwin dalam keadaan diri aku sekarang,"jawab beliau. "Bagaimana jika aku menawarkan kamu seorang isteri dari golongan bangsawan yang cantik lagi kaya? Adakah kamu berminat?" dia memberitahunya. 

Lantas dia memberitahu akan niat sebenar kakaknya itu. Muhammad seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. "Bagaimana aku dapat mengahwininya? Beliau telah menolak lelaki yang paling dihormati di bandar, lebih kaya dan terkenal daripada aku yang hanya seorang gembala yang miskin," katanya. "Jangan risau," jawab wanita itu, "Aku akan menguruskannya,"

Tidak lama selepas itu, Khadijah yang sangat mashyur itu akhirnya berkahwin dengan pekerja mudanya iaitu Muhammad. Ia merupakan satu perkahwinan suci penuh kasih sayang dan sangat menggembirakan umat manusia iaitu penyatuan antara junjungan besar nabi Muhammad S.A.W dan wanita suci bernama Saidatina Khadijah bt Khuwailid. 

Ketika berkahwin, Nabi Muhammad S.A.W. berusia 25 tahun manakala Khadijah R.A. pada masa itu berumur 40 tahun. Namun, usia bukan penghalang dan tidak sedikit pun menggugat kasih sayang Muhammad terhadap isterinya Khadijah yang benar-benar dicintainya setulus hati. 

Mereka telah berkahwin selama 25 tahun, dan dikurniakan zuriat seramai 7 orang, 3 anak lelaki dan 4 anak perempuan. Semua anak-anak Nabi Muhammad meninggal dunia pada usia yang muda. Khadijah R.A. adalah sumber kekuatan, dan kedamaian untuk Nabi Muhammad SAW, yang bersandar sepenuhnya kepada cinta dan kasih suci Khadijah terhadapnya pada satu malam yang paling penting dalam hidupnya.

Ketika beliau bertapa di dalam gua Hira, Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad saw dan diturunkan kepadanya ayat pertama al-Quran dan dihantarkan utusan kepadanya bahawa dia adalah seorang Nabi. 

Pengalaman pertama ini benar-benar menakutkan Nabi Muhammad saw dan dia berlari pulang dan terus meluru mencari isteri yang dikasihinya dalam keadaan menangis. Khadijah lah yang telah berjaya menenangkan Nabi Muhammad sehinggalah Nabi Muhammad menjadi Nabi terakhir utusan Allah.

Setelah diangkat menjadi rasul, banyak tentangan yang diterima Muhammad daripada kaumnya yang ingkar. Namun Khadijah tetap setia di sisi Muhammad dan sentiasa menyokong suami yang dikasihinya. Khadijah banyak berkorban demi kasih sayang termasuklah mengorbankan hartanya ke jalan Allah. 

Begitu besar pengorabanan Khadijah terhadap suami yang dikasihinya. Cinta dan kasih sayang Khadijah tetap hidup dalam jiwa Muhammad walaupun selepas kematian isterinya itu. Nabi Muhammad sukar melupakan cinta dan kasih sayang Khadijah sehingga dia pernah menangis apabila teringatkan isterinya itu.

Begitulah hebatnya kisah cinta Khadijah pada junjungan besar Muhammad S.A.W. Segala pengorbanannya sukar dilakukan oleh seorang wanita biasa. Khadijah merupakan contoh muslimah sejati yang penuh kesucian dan keikhlasan. 

Memang benarlah kata pujangga bahawa di sebalik kejayaan setiap lelaki, pasti ada wanita di belakangnya. Dalam kisah Muhammad S.A.W, memang jelas bahawa peniup semangat, sumber ilham dan inspirasi Muhammad S.A.W adalah isterinya yang bernama Khadijah bt Khuwailid, wanita yang telah dijanjikan syurga Allah atas segala ketulusan hati dan pengorbanan kasih sayangnya pada Islam dan Muhammad S.A.W.

'Pengertian sebenar sebuah hubungan kasih sayang bermula apabila dua jiwa berani berkorban apa saja antara satu sama lain'


-CintaKasih PMS-

No comments:

Post a Comment